rss
twitter
    Find out what I'm doing, Follow Me :)

Click this, to show your support to this blog...;-)

Radiasi frekuensi atau telekomunikasi...adakah ianya merbahaya ?

Radiasi frekuensi di tahap selamat







NOR RASHID ABDUL AZIZ, 46, pernah menyuarakan kebimbangannya terhadap kesan radiasi yang mungkin dialami. Di kediamannya di Puncak Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor proses pembinaan pencawang telekomunikasi dari sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka negara sedang giat dijalankan.
“Saya bimbang sekiranya radiasi yang dipancarkan menerusi menara telekomunikasi menyebarkan haba panas sehingga menjejaskan kesihatan keluarga saya dan penduduk berhampiran.
“Kebimbangan ini semakin dirasai apabila media banyak melaporkan tentang aduan dan rungutan penduduk di kawasan perumahan lain sebelum ini yang tidak bersetuju struktur pemancar telekomunikasi dibina di kawasan berhampiran. Mereka bimbang radiasi yang dikeluarkan memudaratkan kesihatan,” ujar Nor Rashid. Beliau bagaimanapun berasa lega apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan bahawa radiasi telekomunikasi tempatan tidak membahayakan kesihatan.
Sejauh manakah pencawang telekomunikasi boleh memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan orang ramai? Pakar dari Institut Antarabangsa Biofizik, Universiti Warwick, Jerman, Dr. Gerald Hyland pernah mendedahkan ada kemungkinan fungsi tubuh boleh terjejas akibat gelombang radiasi yang berdekatan.
“Penduduk yang tinggal berhampiran pencawang telekomunikasi kerap mendakwa pening kepala, loya, muntah dan sengal-sengal badan.
“Dakwaan itu sebenarnya langsung tidak berasas. Sehingga kini tiada bukti saintifik menyatakan radiasi frekuensi (RF) dari telefon bimbit atau pencawang telekomunikasi memudaratkan kesihatan. Lagipun orang yang tinggal berjauhan dengan pencawang pun boleh mengalami masalah kesihatan yang sama,” tegas Ketua Penolong Pengarah Cawangan Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Prunthavany Muthuvelu.


TIGA alat penting yang digunakan oleh pihak SKMM untuk membaca radiasi di sesebuah kawasan.




Kesan psikologi
Prunthavany menyarankan orang ramai supaya tidak terlalu gusar memikirkan isu radiasi pencawang telekomunikasi. Ia hanyalah kesan psikologi semata-mata. Apatah lagi radiasi menara telekomunikasi di Malaysia berada pada paras spektrum elektromagnetik yang tidak mengeluarkan cas ion. Ini bermakna ia berfungsi secara selamat dan terkawal.
Sementara itu Profesor Jabatan Pengimejan Bio Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Ng Kwan Hoong menjelaskan, radiasi pencawang telekomunikasi tidak berbahaya kerana ia merupakan radiasi tak berion.
Berbeza dengan radiasi berion seperti sinaran gama dan X-ray, ia mengandungi tenaga tinggi yang boleh menyebabkan sel-sel tubuh badan kepanasan.
Kwan Hoong mempersoalkan mengapakah radiasi pemancar telekomunikasi perlu dijadikan isu besar? Dalam kehidupan seharian, orang ramai bukan sahaja terdedah pada radiasi menara telekomunikasi dan telefon bimbit malah sinaran matahari, antena komunikasi yang digunakan oleh pihak bomba, polis dan perkhidmatan kecemasan serta antena televisyen dan radio juga mengeluarkan radiasi.
Mengikut piawaian
“Menara telekomunikasi kita menepati garis panduan yang ditetapkan SKMM, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta mematuhi piawaian antarabangsa yang menjamin keselamatan masyarakat.
“Keselamatan itu diukur dari segi kesempurnaan rekaan struktur, pemasangan dan kawalan berkala mengikut standard keselamatan kebangsaan dan antarabangsa,” ujar Kwan Hoong pada sesi taklimat kesan radiasi bersama media di Pangkor Laut Resort, Perak, baru-baru ini.
Penjelasan Kwan Hoong itu turut disokong dengan keputusan pemeriksaan Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (Mint) yang mendedahkan gelombang kebanyakan pencawang telekomunikasi di Malaysia berada pada paras maksimum.
Pengarah Kanan Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian SKMM, Mohd. Ali Hanafiah Mohd. Yunus memberitahu, pencawang telekomunikasi amat penting bagi mengukuhkan liputan telekomunikasi dan perkhidmatan capaian Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi). Berdasarkan statistik SKMM, setakat ini Malaysia memiliki 19,353 tapak pemancar yang terdiri daripada menara yang dibina di atas bumbung dan lain-lain struktur.
SKMM dan kumpulan industri telekomunikasi sentiasa berusaha membina tapak pemancar di merata-rata tempat demi kebaikan pengguna. Namun disebabkan kekurangan pendedahan mengenai tahap keselamatan radiasi menara telekomunikasi, secara tidak langsung ia mendorong ketidakpuasan di kalangan penduduk supaya merobohkan pencawang itu.


PENGGUNAAN telefon bimbit dipercayai tidak memberi kesan yang ketara pada kesihatan.




Perobohan struktur telekomunikasi tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT). Walaubagaimanapun, pihak SKMM boleh menasihatkan pihak PBT untuk meroboh sesebuah menara sekiranya terdapat bukti jika menara itu tidak selamat atau menyalahi garis panduan pembinaan menara. Namun SKMM akan berbincang bersama syarikat telekomunikasi terbabit sekiranya masalah dapat diatasi tanpa memerlukan merobohkan menara tersebut.
“Pada tahun 2008 kami menerima 98 aduan manakala 68 aduan pada tahun lepas. Ramai yang tidak suka tapak pemancar dibina berhampiran rumah kerana mendakwa ia mendatangkan kesan buruk pada kesihatan.
“Misalnya kes di SS3 Petaling Jaya dan Kampung Cheras Baru, Cheras, pada tahun lepas. Aduan demi aduan yang diterima telah memaksa SKMM merobohkan pencawang komunikasi di kawasan berkenaan. Malangnya, selepas proses meroboh segelintir penduduk mula merungut kerana liputan telefon dan Internet tidak berfungsi dengan baik,” tegas Mohd. Ali mengenai kekangan yang dihadapi pengguna sekiranya tapak pemancar dirobohkan dan berkurangan.
SKMM tidak akan sewenang-wenangnya meluluskan permohonan membina struktur telekomunikasi yang tidak mengikut peraturan seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Pembinaan Menara dan Struktur Pemancar (Garis Panduan KPKT 2002) serta tanpa kelulusan PBT.
Kos meroboh
Menurut Pengurus Perhubungan Sapura Research Sdn. Bhd., Mohd. Zin Mohd. Noor, untuk membina menara telekomunikasi memerlukan kos melebihi RM300,000 dan perlu melalui beberapa prosedur yang kadangkala mengambil masa berminggu-minggu.
Selepas pencawang didirikan syarikat telekomunikasi perlu mengeluarkan sejumlah kos untuk proses penyelenggaraan dan penambahbaikan. Sehubungan itu apabila penduduk tidak berpuas hati dan meminta ia dirobohkan maka ia membebankan pihak syarikat kerana perlu mengeluarkan kos proses meroboh.
“Ironinya bisnes kami bukan tertakluk pada keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha memberi kelebihan kepada pengguna dari aspek liputan talian berkualiti.
“Malangnya, niat baik kami disalah erti sehingga menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian dua kali ganda kerana pembinaan pencawang baru tidak boleh menggunakan bahan-bahan struktur yang lama,” ujar Mohd. Zin ketika ditemui Kosmo!.
Sementara itu Pengarah Pusat Pengurusan Kajian Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Profesor Bersekutu Dr. Md. Zaini Jamaluddin memberitahu, secara amnya pembinaan menara telekomunikasi berdasarkan jarak minimum yang digariskan dalam Garis Panduan Pembinaan Menara dan Struktur Pemancar di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (Garis Panduan KPKT 2002).


MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA menjalankan operasi menurunkan struktur telekomunikasi yang didirikan di atas premis kedai di SS3 Petaling Jaya tahun lalu.



Misalnya, menara yang ketinggiannya kurang daripada 45 meter perlu dibina pada jarak 20 meter dari bangunan berhampiran manakala jarak 30 meter bagi menara yang mempunyai ketinggian 45 meter. Kriteria jarak yang ditetapkan itu sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan bahan-bahan menara yang rosak tidak jatuh di bangunan berhampiran.
Tambah Zaini: “Setiap kali SKMM menerima aduan kami akan menjalankan ujian terlebih dahulu di kawasan berkenaan untuk menganalisis sama ada tahap bacaan radiasi masih di tahap selamat atau sebaliknya.”






* Dipetik dari Kosmo
Semoga bermanafaat untuk kita semua
-Pak Selamat-

0 comments: